TIPS MENINGKATKAN KREATIVITI
Ia ditulis ‘meningkatkan’, bukan bagaimana untuk menjadi kreatif. Kerana didalam kehidupan seharian, kita dah sememangnya kreatif. Contohnya seperti jumpa doktor mintak MC, berlakon sakit sebab malas nak kerja haha; mencari alasan terbaik bila kerja sekolah tak siap; ikut jalan shortcut bila jalan jem dsb.
Dari kamus saya, kreatif bermaksud berkenaan atau melibatkan ciptaan. Ada juga yang memberi maksud pemikiran imaginatif. Malangnya contoh-contoh ayat yang diberi hanya bertumpu kepada artist atau orang seni seperti pelukis, penulis dan penyanyi. Hakikatnya ia memberi maksud yang besar didalam kehidupan sesiapa pun. Ia ada didalam setiap manusia dan disetiap aspek kehidupan dan bukan hanya pada golongan seni. Ia boleh memberi jawapan penyelesaian kepada mana-mana permasalahan dan boleh meningkatkan taraf hidup.
Kreativiti bukan suatu bakat tetapi ia boleh dilakukan oleh sesiapa saja jika kena dengan cara dan keadaannya. Ia juga sebenarnya boleh dibentuk menjadi satu tabiat. Oklah bagaimana untuk meningkatkan kreativiti? Caranya ialah dengan:
- menggalakkan ia
- melatih minda
Sebelum ini apa yang kita selalu buat ialah kita tidak menggalakkan ia dengan berkata ‘aku tak reti, aku tak kreatif sangat’. Bila kita berkata begitu, ia telah memberi input kepada minda separa sedar bahawa ia bukan satu perkara yang penting. Cara untuk menggalakkan diri menjadi lebih kreatif ialah dengan memberi perhatian. Anggap saja diri anda kreatif pada bila-bila masa anda memerlukannya. Lihat pada peluang-peluang yang ada dan jalan-jalan yang ada. Buka minda seluasnya. Dengan cara ini minda separa sedar kita akan mula memberi output idea-idea kreatif kepada kita.
Cuba keluar dari kotak dan corak pemikiran yang sama, beri idea yang ‘gila-gila’ sikit. Banyakkan bertanya soalan “Bagaimana jika…”. Contohnya bagaimana jika ia dikecilkan, dibesarkan, dikurangkan, digabungkan, diperlahankan, dimurahkan dan sebagainya. Anda pikirla sendiri!
Keadaan juga memainkan peranan penting seperti tempat yang sesuai, aktiviti tertentu atau bunyi-bunyian yang boleh merangsangkan idea kreatif. Setiap orang ada sesuatu tempat atau ritual tersendiri untuk menghasilkan ilham. Cuba cari apakah yang boleh merangsang anda. Mungkin secawan kopi? Tempat yang sunyi? Lagu rock? Mozart? Tempat awam yang bising? Tapi kebiasaannya kita digalakkan untuk bersendirian tanpa gangguan supaya fokus dan perhatian kita tidak mudah teralih.
Jika duduk dimeja yang sama, dalam keadaan yang sama tidak memberi kita sebarang hasil, cuba ubah kepada persekitaran yang baru seperti pergi berpiknik ditepi sungai ke, laut ke, perpustakaan ke, kat dapur ke, bawah pokok durian ke haha.. Tapi jangan lupa bawa kertas dan pen atau alat perakam.
Untuk melatih minda menjadi lebih kreatif pula, kita perlu cabar segala andaian atau tanggapan kita. Kerana andaian itu hanya andaian selagi ia tidak terbukti. Contohnya “Bagaimana jika saya jual benda ni dengan harga 3 kali ganda lebih mahal?” Cabaran sebegini telah membuatkan sebuah syarikat menggandakan jualannya berbanding idea untuk mengurangkan harga produk yang dijualnya itu.
Satu lagi teknik ialah dengan melihat dan memerhati benda atau perkara yang dapat kita lihat disekeliling kita. Ini dinamakan sebagai random presentation. Gabungkan elemen-elemen yang kadang-kadang tak masuk akal seperti menggabungkan basikal dan beg – maka terhasillah beg yang ada roda!

Kadangkala sewaktu brainstorming memang akan terdengar suara-suara kritikan dari dalam diri kita sendiri, kebiasaannya negatif. Tak semestinya ia berbentuk suara tetapi boleh juga didalam bentuk imej-imej seperti kita berimaginasi sedang gagal. Usah pedulikannya kerana by default suara dalaman atau imej negatif ini terhasil kerana sifat semulajadi manusia yang cuba untuk menyelamatkan diri kita dari perasaan malu. Malu kerana mungkin idea itu akan memberi reaksi atau komen negatif dari orang lain. Oleh itu jangan biarkan kekreativitian kita dibunuh oleh default setting kita sendiri kerana kita tidak boleh menjadi kreatif dan pengkritik pada masa yang sama!
Tips kreativiti ini hanyalah sebahagian dari puluhan tips-tips kreativiti yang ada. Ada masa nanti saya akan tulis lagi Insya-Allah..
Satu lagi kuasa minda yang telah saya bongkarkan! Tak susah untuk mencari matlamat, tak susah untuk berjaya, tak susah untuk kita menjadi lebih kreatif kerana apa yang kita perlu buat hanyalah MEMILIHNYA!
Ye ke?






